Berikut adalah laporan berita Utusan Malaysia mengenai majlis penutup Pertandingan Kemahiran Kadet Pertahanan Awam Peringkat Negeri Johor di UTHM Batu Pahat pada 23 April 2014 yang lalu.
BATU PAHAT 24 April - Pelajar yang menyertai Kadet Pertahanan Awam
(KAPA) amat beruntung memandangkan mereka didedahkan dengan pelbagai
ilmu dan kemahiran asas Pertahanan Awam dalam menghadapi setiap
kecemasan atau bencana yang berlaku.
Pengarah Pertahanan Awam Johor, Kolonel Ghazali Abd. Rahman berkata,
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sedia melatih seramai yang boleh
para pelajar dan masyarakat agar memiliki kemahiran tersebut sekiranya
menghadapi situasi tersebut.
Menurutnya, pelajar pada masa yang sama juga diharapkan dapat menanam
kesedaran untuk sama-sama mengikuti dan bergiat aktif bagi menimba ilmu
Pertahanan Awam.
Asas pembangunan modal insan bermula di sini kerana bukan sahaja
pelajar dilengkapi dengan ilmu kurikulum di sekolah tetapi turut
memiliki ilmu dan kemahiran Pertahanan Awam yang amat penting dan
berfaedah.
Ilmu Pertahanan Awam yang mereka miliki hari ini juga amat berguna
sekiranya mereka mahu menceburkan diri dalam memberi khidmat sebagai
Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) selepas tamat persekolahan
kelak," katanya ketika menutup Pertandingan Kemahiran KAPA peringkat
negeri di sini semalam.
Sebanyak empat jenis pertandingan dipertandingkan dalam program itu,
iaitu pertandingan kawad kaki, perawatan awal, melawan kebakaran dan
menyelamat yang membabitkan penyertaan tujuh daerah di negeri ini.
Tambah Ghazali, JPAM Johor mengambil inisiatif melaksanakan
pertandingan tersebut sebagai sebahagian daripada matlamat jabatan
untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dan relevan
kepada keselamatan awam serta negara.
Di samping itu katanya, pertandingan tersebut merupakan platform
untuk mengenal pasti calon kadet KAPA yang akan mewakili kontinjen Johor
ke Perkhemahan Integrasi KAPA peringkat kebangsaan kali ke-13 di Sabah
pada Jun depan.
No comments:
Post a Comment