Laporan akhbar Sinar Harian pada 14 Mac 2014
PONTIAN, 14 Mac - Kira-kira 200 anggota sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam
(JPAM) daerah Pontian bersiap sedia bagi membantu operasi memadam
kebakaran yang kerap berlaku pada musim panas ini.
Pegawainya, Mohd Hairol Isahak berkata, sepanjang Februari hingga kini,
dianggarkan seramai 60 anggota telah digerakkan memadam kebakaran
bersama pasukan bomba dan penyelamat.
“Pada peringkat awal, kita meletakkan tujuh anggota khas yang sentiasa
bersedia 24 jam untuk turut serta dalam mana-mana operasi pemadaman yang
dijalankan di sekitar daerah.
“Sekiranya terdapat keperluan tambahan, kita akan menambah anggota
bergantung kepada situasi dan luas kawasan yang terbakar,” katanya
ketika ditemui di ibu pejabat JPAM daerah Pontian, semalam.
Menurutnya, jumlah kebakaran melibatkan kebun kelapa sawit, kawasan belukar dan semak samun meningkat mendadak tahun ini.
“Berbanding tahun lepas, operasi pemadaman kebakaran tidak banyak
melibatkan JPAM, namun pada tahun ini JPAM diletakkan dalam keadaan siap
sedia.
“JPAM telah terlibat di dalam 20 operasi pemadaman sejak Februari lalu,
terdapat operasi yang memerlukan anggota bekerja sehingga lewat malam
untuk mengawal api dari merebak,” katanya.
Jelasnya, keadaan musim kering dan panas menyebabkan anggotanya berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan air.
“Keadaan parit dan sungai yang kering menyebabkan bekalan air terhad, ini menyebabkan bekalan terpaksa dibawa dari luar. Kebakaran membabitkan kawasan tanah gambut sukar dikawal berikutan
keadaan tanah yang mudah terbakar memerlukan bekalan air yang banyak,”
katanya.
Beliau berkata, pembabitan sukarelawan dalam operasi memadam kebakaran
ini banyak membantu mereka untuk bersiap sedia menghadapi sebarang
kemungkinan bencana.
“Kita telah bersiap sedia sebelum menyertai sebarang operasi pemadaman
kebakaran dan bencana yang mungkin berlaku di daerah ini. Selain memastikan anggota mencukupi, kita juga sentiasa memastikan
peralatan menyelamat sentiasa berada dalam keadaan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai yang berminat menyertai JPAM sebagai anggota sukarelawan.
No comments:
Post a Comment