Wednesday, 30 April 2014

FOTO-FOTO KONTINJEN KAPA PONTIAN DI PERTANDINGAN KEMAHIRAN KAPA PERINGKAT NEGERI JOHOR 2014

Diorang tetap gembira, ceria dan riang walaupun kepenatan menyertai cabaran kemahiran KAPA yang dipertandingkan di UTHM, Batu Pahat, Johor, pada hari Rabu 23 April 2014...




















DARI PERANG DUNIA KE MH370, JABATAN PERTAHANAN AWAM TETAP KOMITED

Usia Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bakal mencecah 62 tahun pada 24 Mac ini, namun kehadiran pasukan ini tidak begitu disedari oleh masyarakat berikutan kurangnya publisiti mengenainya.

Masih ramai yang tidak mengetahui bahawa pasukan, yang ditubuhkan sejak Perang Dunia Kedua ini, berfungsi sebagai satu badan berkecuali yang melaksanakan tugas-tugas menyelamat nyawa dan harta benda secara sistematik tatkala negara dilanda bencana.

Jabatan ini juga adalah satu daripada tiga jabatan yang diamanahkan menjaga keamanan negara, sebarisan dengan pasukan tentera dan polis.

Dan bagi mencapai hasrat itu jabatan akan mengadakan majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara kepada anggotanya bersempena sambutan ulang tahun ke-62 JPAM Isnin ini di Pusat Pertahanan Awam Negara (PUSPAN) di Seremban, Negeri Sembilan.

"Kami mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke majlis ini sebagai satu cara mempromosi kelebihan menjadi sukarelawan JPAM. Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti pertunjukan dan demonstrasi serta pameran tentang aktiviti pertahanan awam", kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Timbalan Pesuruhjaya (Pertahanan Awam) Selamat Dahalan kepada Bernama.

Hari ini JPAM memainkan fungsinya sesuai dengan keadaan semasa. Waktu negara berada dalam keadaan aman, ia memainkan peranan mengambil apa-apa langkah bagi melindungi nyawa dan harta benda sebelum, sewaktu dan selepas berlakunya sesuatu bencana di dalam negara, jelas Selamat.

Jika negara berada dalam keadaan perang, tugas JPAM ialah mengambil langkah yang tidak melibatkan penggunaan senjata sebelum, semasa dan selepas serangan musuh.

SEJARAH RINGKAS

Sejarah aktiviti pertahanan awam di Malaysia telah melangkau tempoh 70 tahun, dibentuk oleh British dikenali sebagai ‘Passive Defence’ pada tahun 1939, sebagai persiapan menghadapi Perang Dunia Kedua.

Selepas penubuhannya secara rasmi pada 24 Mac, 1952, JPAM melalui pelbagai bentuk perkembangan, dan menjadi komponen penting dalam pertahanan negara terutamanya pada waktu-waktu sukar.

Prestasi cemerlang pasukan ‘Passive Defence’ telah membuatkan pihak pemerintah British menggubal ‘The Civil Defence Ordinance’ pada tahun 1951 sebagai satu undang-undang dalam sistem keselamatan di Tanah Melayu ketika itu.

Berikutan peristiwa kemerdekaan negara, ordinan ini telah menjadi Akta Pertahanan Awam 1951.

Peranan JPAM turut diiktiraf sebagai unsur tetap pertahanan negara seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan peristiwa konfrantasi Indonesia ke atas Malaysia, JPAM melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak. Peristiwa ini juga telah menambahkan keanggotaan JPAM sehingga 36,000 anggota dengan 37 cawangan di seluruh negara.

PENGLIBATAN JPAM

Banjir besar yang melanda hampir seluruh negara pada 1970 telah membawa kepada peristiwa kerahan tenaga besar-besaran. Pada 1972 skop tugas JPAM ditambah dengan memasukkan perkhidmatan bantuan bencana.

"Bantuan kepada mangsa banjir sudah menjadi ‘acara tahunan’ kami. Kalau dahulu kami tunggu banjir berlaku baru bertindak, sekarang sebelum banjir pun kita sudah siap siaga di kawasan potensi banjir", jelas Selamat.

Sejak itu, JPAM telah terlibat secara aktif dalam pelbagai peristiwa bencana dalam negara. Antara yang masih segar di ingatan rakyat ialah tragedi kondominium Highland Towers tumbang pada 1993, Ops Daulat di Lahat Datu pada tahun lepas dan yang terkini, kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Mengenai penglibatan JPAM dalam krisis MH370, Selamat berkata pihak JPAM mengambil tiga tindakan iaitu menyediakan pasukan khas siap sedia untuk misi menyelamat, rondaan pantai dan petugas yang menguruskan keluarga mangsa di hotel tempat mereka menginap.

SUKARELAWAN SEDIA BERKHIDMAT

Berbeza dengan pasukan tentera atau polis dan sesuai dengan nama ‘pertahanan awam’, tulang belakang pasukan JPAM ialah anggota masyarakat yang mahu memberi khidmat secara sukarela.

"Kerja kami lebih bersifat memberi bantuan kemanusiaan, tidak kira siapa pun mangsa kepada sesuatu tragedi tanpa mengira latar belakang, warna kulit, bangsa atau agama.

Hari ini, keanggotaan JPAM telah dibahagikan kepada beberapa jenis, melibatkan kira-kira 1.3 juta orang daripada pelbagai peringkat umur.

Jumlah terkini Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) ialah 750,630 orang.

Daripada jumlah ini, 11,800 orang berada dalam keadaan siap siaga dan sedia berkhidmat dalam masa sejam selepas mendapat arahan.

Penyertaan JPAM juga dibuka kepada mahasiswa universiti. Sebanyak 37 universiti dari seluruh negara mempunyai pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA)dengan keanggotaan keseluruhan seramai 4,678 mahasiswa.

"Pasukan ini biasa kami libatkan dalam operasi khidmat bakti selepas kejadian bencana. Contohnya operasi mencuci rumah dan pengurusan sumbangan kepada mangsa banjir. Ini kerana kami tidak mahu libatkan mereka dalam operasi sebelum atau semasa bencana atas faktor risiko yang tinggi", jelas Selamat.

Kadet Pertahanan Awam (KAPA), program JPAM di peringkat sekolah menengah juga berjaya menarik penyertaan 50, 474 pelajar dari seluruh negara.

JPAM turut melaksanakan program pendidikan dan kesedaran kepada pelajar sekolah dan tadika melalui Program Awalan Kesedaran Keselamatan Pertahanan Awam(PROKSPA) yang telah melatih 104,437 pelajar.

"Ada juga pihak yang menyertai program-program JPAM atas kapasiti organisasi dan jumlah organisasi yang berdaftar dengan program ‘Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) kami ialah 61", kata Selamat.

MENGINGATI HERO LAHAD DATU

"Keadaan kelam-kabut waktu itu. Pertempuran baru bermula. Penduduk laribertempiaran. Kami tahu sesuatu perlu dilakukan segera, kami buka pusat perlindungan sejak hari pertama krisis bermula", cerita Selamat, mengenang peristiwa hitam negara di Lahad Datu.

Empat pusat perlindungan, memuatkan 4,000 penduduk dibuka sepanjang krisis berlaku. Segala keperluan mangsa daripada keperluan harian hingga makan minum diuruskan JPAM.

Secara keseluruhan, 350 petugas JPAM terlibat dalam misi ini dan bagi menghargai mereka diadakan majlis penganugerahan itu melibatkan 30 penerima terakhir. - Bernama

Tuesday, 29 April 2014

PERKHIDMATAN KECEMASAN 999

Perkhidmatan Talian Kecemasan 991

Perkhidmatan yang dikenali sebagai Talian Kecemasan 991 telah dilancarkan pada 21 Mei 1995 dan Pejabat Pertahanan Awam Kuala Lumpur telah menjadi perintis kepada talian ini. Ini diikuti dengan pelancaran talian 991 yang sama di negeri Pulau Pinang, Bandar Ipoh, Johor Bahru dan Kuching. Perkhidmatan yang ditawarkan secara percuma ini semakin mendapat perhatian masyarakat dan kemudiannya diperluaskan ke seluruh cawangan yang sedia ada. Kesannya, sehingga 13 Disember 2000, semua 17 pejabat cawangan di semenanjung, Kuching dan Kota Kinabalu telah memberikan perkhidmatan kecemasan melalui talian 991. Skop perkhidmatan yang diberikan adalah meliputi hampir kesemua kes kecemasan yang berlaku seperti kemalangan jalan raya, terperangkap, hilang atau sesat di hutan serta kemalangan di air semakin menonjolkan peranan dan kemahiran yang dimiliki oleh pasukan. Pasukan pertahanan awam pada masa ini terus diberikan peranan utama dalam gerakan mencari dan menyelamat serta semasa berlakunya banjir besar yang berlaku hampir setiap tahun.

Talian 999

Mulai 1 Oktober 2007 talian kecemasan 999 telah diperkenalkan kepada masyarakat Malaysia dengan menggabungkan semua nombor kecemasan iaitu 991, 994 dan 999 ke dalam satu nombor kecemasan yang melibatkan agensi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengintegrasikan pengurusan data, bilangan kekuatan agensi dan penggunaan sistem yang bersepadu bagi meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kecemasan di antara agensi dengan satu prosedur dan tatacara perkhidmatan yang seragam bertepatan dengan hasrat kerajaan melalui motto “Satu Malaysia satu Nombor”. Sebanyak 2 buah Pusat Panggilan Malaysia Emergency Response System (MERS) JPAM telah beroperasi sepenuhnya pada tahun 2008 dan pada tahun 2012 sistem tersebut telah diperluaskan di negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Setiap panggilan melalui talian kecemasan 999 adalah percuma.Sistem penerimaan panggilan kecemasan 999 mampu mengenalpasti setiap panggilan yang dibuat kerana nombor pemanggil akan tertera untuk disimpan bagi tujuan rekod atau rujukan. Ini dapat membantu mengelakkan keciciran ketika panggilan kecemasan dibuat di samping memantau panggilan palsu. Setiap panggilan palsu boleh dikenakan denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hubungi

Untuk Makluman Lanjut, sila Hubungi :
Tuan Mohd Yusoff Bin Samad
Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi
Ibu Pejabat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,
50556 Kuala Lumpur
No Tel : 03-26871303
No Fax : 03-26871498

Monday, 28 April 2014

KADET SEKOLAH PERTAHANAN AWAM (KAPA)

Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KAPA)

Matlamat penubuhan Pasukan Kadet Pertahanan Awam adalah untuk membentuk masyarakat khususnya para pelajar melalui pelbagai aktiviti kesukarelaan bertujuan memantapkan semangat patriotik, meningkatkan tahap disiplin dan membina semangat bekerjasama berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Objektif

  •   Memberi kemahiran-kemahiran pertolongan cemas, melawan kebakaran dan menyelamat yang boleh digunakan oleh pelajar pada bila-bila masa.
  •   Memberi perkhidmatan sukarela kepada sesiapa yang memerlukan baik di sekolah atau luar sekolah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman.
  •  Menanam semangat kerjasama, bertanggungjawab, berperikemanusiaan, taatsetia, cintakan sekolah dan negara.
  •  Memupuk semangat hormat-menghormati, kekitaan, pengorbanan dan kejujuran antara satu sama lain.
  •  Mencungkil dan memupuk semangat (nilai dan etika) kepimpinan di kalangan pelajar.

Keanggotaan

Pendaftaran untuk menyertai Kadet Pertahanan Awam adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut :
  •  Pelajar-pelajar sekolah menengah berusia antara 13 hingga 20 tahun.
  •  Sihat tubuh badan ( pengesahan pegawai perubatan jika diperlukan ).
  •  Tidak menyertai mana-mana pasukan pakaian seragam yang lain.
  •  Mendapat kebenaran ibu bapa dan disokong oleh pihak sekolah.
  •  Warganegara Malaysia.
  •  Mengajukan permohonan dengan mengisi borang permohonan.

Bayaran Elaun

  •   Anggota kadet tidak layak menerima sebarang elaun.
  •   Guru Penyelaras adalah layak menerima elaun mengikut pangkat yang disandang sepertimana kadar yang ditetap dan diterima pakai oleh mana-mana pekeliling Kerajaan.
  •  Guru Penasihat atau Guru Pembimbing Kadet TIDAK LAYAK menuntut sebarang elaun.

Kaedah Latihan

Kuliah : Boleh dijalankan oleh Guru Penyelaras Kadet atau jurulatih bertauliah.
Praktikal : Dijalankan oleh jurulatih bertauliah dan dibantu oleh Guru Penyelaras Kadet.
Lawatan : Dijalankan sendiri oleh Guru Penyelaras.
Perkhemahan : Dijalankan oleh Guru Penyelaras Kadet atau Guru Pembimbing dengan bantuan jurulatih bertauliah
Kerja Lapangan : Dijalankan oleh Guru Penyelaras Kadet atau Guru Pembimbing.
Kerja Kumpulan : Dijalankan oleh Guru Penyelaras Kadet atau Guru Pembimbing.

Borang KAPA

  •  BORANG PERMOHONAN PENUBUHAN PASUKAN KADET PERTAHANAN AWAM
  •  KEPUTUSAN KADET PERTAHANAN AWAM

Hubungi

Untuk Makluman Lanjut sila Hubungi :
Bahagian Pengurusan Angkatan,
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia,
Jalan Padang Tembak
50556 Kuala Lumpur.
No Tel : 03-26871432

Sunday, 27 April 2014

JPAM: FUNGSI, MISI, VISI, MOTO DAN OBJEKTIF

Takrif Pertahanan Awam

Maksud mengikut Akta Pertahanan Awam 1951(Akta 221) terbahagi kepada dua keadaan iaitu:
SEMASA PEPERANGAN
Bermaksud apa-apa jua langkah yang tidak melibatkan penggunaan senjata bagi menghadapi serangan permusuhan samada langkah itu diambil sebelum,semasa atau selepas masa serangan musuh.
SEMASA AMAN
Bermaksud apa-apa jua langkah yang diambil bagi melindungi nyawa dan harta benda samada langkah itu diambil sebelum, semasa atau selepas sesuatu bencana.
Berdasarkan Akta 221 tersebut dapat difahami bahawa Pertahanan Awam itu berfungsi dalam masa aman, masa peperangan dan mangsa bencana dengan mengambil apa-apa jua langkah bagi menyelamat, melindungi dan mengurangkan kehilangan nyawa serta kerosakan ke atas harta benda penduduk awam.

Visi, Misi Dan Moto

VISI
Menjadi agensi Pertahanan Awam yang unggul dalam pengurusan bencana.

MISI
Memastikan keselamatan orang awam dan harta benda terus terpelihara sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana.
MOTO
"SEDIA PANTAS BERINTEGRITI"

Objektif

Mengurangkan risiko akibat bencana dengan cara:
  1. Menyediakan latihan menyelamat kepada orang awam.
  2. Mewujudkan serta mengendalikan sistem amaran bencana.
  3. Menyediakan pusat-pusat perlindungan semasa berlakunya bencana.
Memberi respond kepada bencana dengan cara:
  1. Menubuhkan pasukan (First Responder).
  2. Menyediakan perkhidmatan kecemasan.
Memberikan perkhidmatan pemulihan dengan cara:
  1. Membantu dalam aktiviti pembersihan kawasan yang di landa bencana.
  2. Membantu aktiviti pembangunan semula kawasan yang di landa bencana.
  3. Menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa bencana.

Fungsi

  1. Menubuh, mengurus dan menyelenggara Angkatan Pertahanan Awam.
  2. Merangka dan melaksanakan program-program Latihan Pengurusan Bencana dan Kecemasan kepada orang awam.
  3. Melaksanakan perkhidmatan bantuan bencana dan kecemasan.
  4. Menyedia, mengurus dan menyelenggara Pusat-pusat Pemindahan dan Sistem Amaran Bencana dan Keselamatan.
  5. Merancang dan melaksanakan aktiviti menyelamat mangsa dan harta benda sebelum, semasa dan selepas bencana.

Fokus Strategik

  1. Meningkat dan memperluas perkhidmatan kecemasan yang cekap, berkesan dan profesional.
  2. Meningkat dan memperluas kerjasama dengan Agensi-agensi Kerajaan, Swasta, NGO, Kepimpinan Peringkat Negeri, Daerah dan Institusi-institusi Latihan dalam program-program Pertahanan Awam.
  3. Mewujudkan program-program latihan yang seragam dan diiktiraf.
  4. Mengadakan program-program latihan Pertahanan Awam yang berterusan kepada Anggota Angkatan Pertahanan Awam.
  5. Mewujudkan sekumpulan jurulatih profesional yang mempunyai kemahiran-kemahiran khusus dalam pengurusan bencana (Menyelamat, Paramedik, Kebombaan dan Akuatik).
  6. Merancang dan membina pejabat-pejabat baru di tempat yang strategik supaya perkhidmatan dapat diberikan dengan lebih berkesan.
  7. Meningkatkan penggunaan ICT dalam Pengurusan Angkatan dan Bencana.
  8. Mempromosikan Pertahanan Awam melalui media elektronik, media cetak dan aktiviti-aktiviti pertahanan awam bersama masyarakat.
  9. Memperluas Perkhidmatan Pertahanan Awam daripada semasa kepada sebelum dan selepas bencana.
  10. Melibatkan pegawai tetap dan anggota sukarela di dalam setiap aktiviti Pertahanan Awam.

Nilai & Teras

  1. Mengendalikan tugas dengan cekap dan tepat.
  2. Berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap tugas yang di berikan.
  3. Mengamalkan konsep kerja berpasukan.
  4. Berkhidmat dengan Ikhlas.

Saturday, 26 April 2014

SEJARAH JPAM

 Pra-Merdeka


Tahun Keterangan
1939 Aktiviti Pertahanan Awam di Malaysia telah dimulakan oleh pihak British Passive Defence yang dibentuk di bawah Emergency Regulation Enactment Chapter 41 untuk mengadakan langkah – langkah bagi menghadapi peperangan Dunia Kedua.
1951 The Civil Defence Ordinance 1951 digubal secara rasmi sebagai satu undang – undang dalam sistem keselamatan Tanah Melayu.
1952 Jabatan Pertahanan Awam ditubuhkan pada 24 Mac secara rasmi bagi melaksanakan peruntukan Ordinan.

Pasca-Merdeka


Tahun Keterangan
1957 The Civil Defence Ordinance 1951 ditukar menjadi Akta Pertahanan Awam1951 ( Akta 221 ) berikutan kemerdekaan Negara.
1958 Pertahanan Awam menjadi unsur tetap dan penting dalam sistem pertahanan Negara mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
1964 Pertahanan Awam diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Singapura berikutan konfrontasi Malaysia – Indonesia ( Kertas Kabinet No. 302/314/64 )
1965 Jumlah keanggotaan ditambah menjadi seramai 36,000 anggota dengan 37 cawangan selain kelengkapan logistik terbaru pada masa itu diperolehi untuk seluruh Negara.
1970 Kerahan tenaga anggota seluruh Negara dibuat mengikut peruntukan Akta Perkhidmatan Negara 1952 berikutan bencana banjir besar yang melanda Negara.
1972 Akta Pertahanan Awam 1951 dipinda bagi melaksanakan tugas dan peranan semasa aman dengan menjalankan perkhidmatan bantuan bencana selain tugas hakiki menghadapi peperangan.
1993 Tragedi Highland Tower tumbang di Hulu Kelang mula merubah organisasi Pertahanan Awam di Malaysia.

Era Pembangunan


Tahun Keterangan
1994 Pengenalan nama ringkas JPA 3 mula digunakan dan diterima pakai di seluruh negara untuk membezakan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Penerbangan Awam.
1995 Talian Kecemasan 991 dilancarkan pada 20 Mei sebagai tanda komitmen Jabatan Pertahanan Awam memberikan khidmat bantuan kecemasan secara 24 jam.
1996 Rancangan Pembangunan Jabatan Pertahanan Awam dirangka bagi memperlengkapkan sepenuhnya segala keperluan logistik dan prasarana dalam gerakan kerja menyelamat.
2000 Semua Ibu negeri di seluruh negara dan enam pejabat cawangan telah melaksanakan perkhidmatan talian 991.
2000 Rancangan Pembangunan Projek Fizikal dilaksanakan dengan tujuh projek Pusat Pertahanan Awam Negeri dan Daerah di bawah RMK 7 termasuk dua projek pusat latihan yang baru.
2001 Sebanyak tujuh lagi projek Pusat Pertahanan Awam Negeri dan Daerah diluluskan untuk dilaksanakan didalam tempoh RMK 8 menjadi semua ibu negeri di seluruh Semenanjung bakal memiliki kompleks pentadbiran, operasi dan latihannya sendiri.
2004 Motto ' Selangkah Ke Hadapan ' diperkenalkan sebagai komitmen warga Jabatan Pertahanan Awam memberikan ' Delivery Service ' yang terbaik kepada orang ramai sesuai dengan pertambahan perjawatan dalam Jabatan.
2006 Memperkenalkan slogan "Sedia, Pantas dan Berintegriti" sebagai pemangkin menjadikan Jabatan Pertahanan Awam sebuah jabatan yang unggul.
2008 Petukaran pengenalan nama ringkas JPA 3 kepada JPAM telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Pertahanan Awam sendiri pada bulan Mac semasa Hari Sambutan Pertahanan Awam yang diadakan di Ipoh Perak.
2008 Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan ' Satu Negara Satu Nombor ' sebagai talian panggilan pusat iaitu 999 bagi menyatukan talian kecemasan yang membabitkan Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Kementerian Yang Mengawal


Tahun Keterangan
1952 Setiausaha Pertahanan
1955 Kementerian Dalam Negeri
1959 Kementerian Pertahanan
1964 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan
1965 Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Pertahanan Awam
1967 Kementerian Pertahanan
1968 Kementerian Keadilan
1970 Kementerian Dalam Negeri
1971 Kementerian Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan
1975 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan
1978 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
1982 Kementerian Dalam Negeri
2004 Kementerian Keselamatan Dalam Negeri
2008 Kementerian Dalam Negeri

Friday, 25 April 2014

KONTINJEN KAPA PONTIAN MEMPERBAIKI RANKING DALAM PERTANDINGAN KEMAHIRAN KAPA NEGERI JOHOR 2014

Dalam pertandingan peringkat negeri Johor, KAPA Pontian telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan mutu kemahiran Kadet Pertahanan Awam. Latihan pusat selama tiga hari telah berjaya memberi keyakinan kepada ahli-ahli kontinjen KAPA untuk bertanding ke peringkat negeri.

Ranking kontinjen daerah dalam pertandingan kemahiran KAPA negeri Johor dengan mengambil kira pertandingan kawad kaki:

Johan  -  Batu Pahat
N. Johan  -  Pontian
Ketiga  -  Mersing

Tahniah dan syabas kontinjen Pontian...













KONTINJEN KAPA PONTIAN KE PERTANDINGAN KEMAHIRAN KAPA NEGERI JOHOR 2014 - KEMAHIRAN PERTOLONGAN CEMAS (RAWATAN AWAL)

Dalam pertandingan kemahiran pertolongan cemas (rawatan awal), KAPA Pontian telah menyertai dua kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan. Bagi kategori lelaki kita berjaya membawa pulang sebagai naib johan. Namun kita tidak bernasib baik bagi kategori perempuan. Tahniah dan syabas... 

Kategori Lelaki:
Johan  -  Batu Pahat
N. Johan - Pontian
Ketiga - Segamat

Kategori Perempuan:
Johan  -  Muar
N. Johan - Kluang
Ketiga - Johor Bahru







KONTINJEN KAPA PONTIAN KE PERTANDINGAN KEMAHIRAN KAPA NEGERI JOHOR 2014 - KEMAHIRAN MELAWAN KEBAKARAN

Dalam pertandingan kemahiran melawan kebakaran itu, KAPA Pontian telah menyertai dua kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan. Bagi kategori perempuan kita berjaya membawa pulang tempat ketiga. Namun kita tidak bernasib baik bagi kategori lelaki. Tahniah dan syabas... 

Kategori Lelaki:
Johan  -  Batu Pahat
N. Johan - Johor Bahru
Ketiga - Segamat

Kategori Perempuan:
Johan  -  Batu Pahat
N. Johan - Mersing
Ketiga - Pontian






KONTINJEN KAPA PONTIAN KE PERTANDINGAN KEMAHIRAN KAPA NEGERI JOHOR 2014 - KEMAHIRAN MENYELAMAT

Dalam pertandingan kemahiran ini KAPA Pontian telah menyertai dua kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan. Kedua-kedua kategori itu, KAPA Pontian berada di kedudukan ketiga. Tahniah dan syabas...

Kategori Lelaki:
Johan  -  Batu Pahat
N. Johan - Mersing
Ketiga - Pontian

Kategori Perempuan:
Johan  -  Batu Pahat
N. Johan - Mersing
Ketiga - Pontian








KONTINJEN KAPA PONTIAN KE PERTANDINGAN KEMAHIRAN KAPA NEGERI JOHOR 2014 - KAWAD KAKI

Kontinjen Pontian lelaki dan perempuan telah menyertai pertandingan kawad kaki ini. Kkedua-kedua kategori lelaki dan perempuan telah berjaya menjuarai pertandingan tersebut. Tahniah dan syabas...

Kategori Lelaki:
Johan  -  Pontian
N. Johan - Johor Bahru
Ketiga - Segamat

Kategori Perempuan:
Johan  -  Pontian
N. Johan - Mersing
Ketiga - Batu Pahat